Tuesday, April 22, 2008

SAYA TERTARIK DENGAN ARTIKEL INI

KEKANG FENOMENA KHAWARIJ MODEN
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

KESEDARAN terhadap Islam semakin mengakar dalam masyarakat khususnya generasi yang lahir pascamerdeka dan melalui sistem pendidikan berorientasikan dasar penerapan nilai-nilai Islam yang diperkenalkan kerajaan. Natijahnya Islam tampak kian menyubur dalam masyarakat. Namun kesedaran terhadap agama semata-mata tidak cukup untuk menjelmakan generasi Islam sejati.Kesedaran yang membuak-buak tanpa didasari kefahaman mendalam berasaskan ilmu yang sahih pastinya tidak mampu membentuk generasi Islam yang bertamadun.
Sebaliknya, yang lebih penting ialah bukan sahaja mewujudkan generasi yang ghairah dan berkesedaran tinggi terhadap Islam tetapi lebih utama menjana generasi yang benar-benar menjiwai Islam.Hakikat yang tidak boleh dinafikan, kegagalan menanggapi Islam dengan faham ilmu sebenar boleh menjerumus umat ke arah kesesatan dan penyelewengan. Bahkan kesedaran tinggi sahaja tanpa didasari kekuatan ilmu pasti menuntun umat kepada kebinasaan. Berapa ramai yang telah tergelincir dalam kesesatan lantaran perjuangan hanya berasaskan retorika semangat yang lompong jiwa dan dangkal akal rasionalnya. Tidak sedikit yang mendabik dada berjuang atas nama Islam tetapi berpijak di atas tempelan semangat membuta tuli semata-mata yang akhirnya terjerumus kepada sikap dan tindakan pelampauan yang sesat.
Perjuangan
Hakikat yang harus difahamai perjuangan memartabatkan Islam tidak seharusnya ditanggapi sebagai lesen besar bagi menghalalkan sebarang tindakan melampau atau sebagaimana diistilahkan al-Quran sebagai ‘al-ghuluw’ atau ekstrem yang berpaksikan hawa nafsu.Allah secara tegas mengingatkan kita didalam al-Quran: Katakanlah! Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampau dengan cara tidak benar dalam agama. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia) dan mereka juga tersesat dari jalan yang lurus. (al-Maidah: 77).Kecenderungan melampau jugalah yang sering kali menjerumus segelintir umat ke dalam jurang mengkafirkan saudara seislamnya sehingga memecahkan perpaduan dan memutuskan ikatan ukhuwah yang menjadi teras kekuatan umat Islam.
Gejala ini bukanlah baru dalam sejarah Islam. Pada awal sejarah Islam, kita disaksikan kemunculan kelompok Khawarij yang terkenal sebagai golongan yang kuat beribadah dan paling kuat berpegang kepada syiar-syiar ibadah. Namun, amalan mereka langsung tidak diterima Allah lantaran sikap angkuh dan bongkak mereka hingga merendahkan amalan dan ibadah orang lain bahkan sanggup mengkafirkan saudara seislamnya.Nabi Muhammad s.a.w. sendiri memberi amaran akan kehadiran kelompok Khawarij ini kepada sahabat-sahabat baginda sebagaimana sabdanya: Sifat golongan itu ialah sentiasa memandang rendah sembahyang mahupun bacaan al-Quran orang lain. Namun mereka pada hakikatnya keluar dari agama sebagaimana anak panah keluar dari busurnya. Rasululllah seterusnya menyebutkan tanda-tanda mereka seperti berikut: “Mereka memerangi orang Islam dan membiarkan penyembahan berhala.”
Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya Asohwatul Islamiyah Baina al-Juhud wa Tatarruf turut memperincikan sifat kelompok yang menyerupai golongan khawarij yang digambarkan Rasulullah. Menurut beliau, dalam realiti hari ini, wujud kelompok khawarij moden yang berkecenderungan melampau hingga bertindak mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan.Kebongkakan dan keangkuhan ini menjurus mereka mengkafirkan pemerintah yang dianggapnya tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah. Mengkafirkan yang diperintah kerana dianggapnya reda dengan pemerintah dan mengikut sahaja hukum yang tidak diturunkan Allah.
Kelompok pelampau seperti ini mungkin lupa akan sabda Nabi s.a.w. yang melarang keras seseorang menuduh saudaranya yang lain kafir sebagaimana tercatat dalam sebuah hadis sahih: Siapa berkata kepada saudaranya: ‘Hai kafir’, maka sesungguhnya telah kembali dengannya salah seorang keduanya. Ini bermakna selama yang lainya tidak kafir dengan yakin, maka akan kembali tuduhan itu kepada orang yang menuduhnya.Al-Qaradawi seterusnya mengulas bahawa orang yang masuk Islam dengan yakin tidak harus mengeluarkannya daripada Islam. Yakin tidak digugurkan dengan syak. Perbuatan maksiat tidak mengeluarkan seseorang Muslim daripada Islam, hatta dosa-dosa besar seperti membunuh, berzina, minum arak tidak menjejaskan aqidah mereaka selama tidak memandang remeh hukum Allah atau menolak dan tidak menerimanya.
Syariat jelas membezakan di antara hukuman membunuh, berzina dan minum arak. Andainya semua kufur tentu semuanya dihukum dengan hukuman murtad. Sebab itulah kecenderungan mengkafirkan seseorang oleh golongan pelampau agama adalah ditolak dengan muhkamat yang nyata dari kitab Allah dan sunah Rasul-Nya.Menyedari realiti wujudnya kelompok pelampau agama seperti kaum Khawarij yang pernah muncul dalam sejarah Islam inilah maka perlunya pemerintah berperanan menyatukan kefahaman umat terhadap Islam yang satu berasaskan suluhan ilmu yang sejati. Fenomena kemunculan Khawarij di zaman ini perlu dikekang sebelum umat berterusan berpecah belah hingga boleh memporak-perandakan kestabilan dan keharmonian sesama Islam.