Monday, May 12, 2008

SAMPAI BILA MELAYU BOLEH BERSATU?

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL(WARTAWAN UTUSAN)

SUDAH terlalu banyak kekalutan dalam landskap politik negara yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu diperdebatkan dalam nada yang agak pedih serta menyentak nilai sedar terutamanya di kalangan orang Melayu.Senario politik yang masih lagi hangat itu sebenarnya menjurus kepada satu hakikat yang pasti, bahawa orang Melayu kini terpisah oleh jurang politik yang semakin melebar luas.
Jika dulu, kiblat politik orang Melayu hanya terarah kepada UMNO dan Pas, kini Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula muncul menjadi parti yang lebih kuat.
Biarpun perjuangan ketiga-tiga parti itu secara dasarnya adalah untuk memperkasakan orang Melayu, namun ideologi dan roh perjuangan yang membezakan parti tersebut sangat jelas. UMNO dengan perjuangan bangsanya, Pas dengan negara Islamnya dan PKR pula dengan ketuanan rakyatnya. Jalan yang selamanya bercabang tiga ini tidak mungkin akan membawa Melayu kepada satu titik yang bertemu.
Akibatnya, bangsa Melayu akan terus berpecah dan dalam keadaan seperti itu, perbezaan biarpun sangat kecil tidak mungkin menyaksikan orang Melayu berganding bahu dalam mempertahankan hak mereka.Barangkali sudah tiba masanya untuk semua pemimpin politik Melayu bersama-sama memikirkan mengenai survival orang Melayu dengan mengambil pendekatan merentasi sempadan politik yang selama ini menjadi pemisah kepada penyatuan bangsa.
Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila kebanyakan isu yang berkaitan dengan kelemahan orang Melayu dipolitikkan.Lalu apabila tiga pemimpin muda iaitu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria; Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub bersetuju untuk membentuk gagasan permuafakatan Melayu dalam satu pertemuan tidak rasmi baru-baru ini, ia sudah cukup memberikan harapan kepada penyatuan bangsa dalam sudut yang lebih bermakna pada masa depan.
Gagasan permuafakatan Melayu seperti yang dijelaskan oleh Mohamad Norza, merupakan satu usaha merentasi sempadan politik untuk membincangkan isu-isu penting melibatkan orang Melayu terutamanya berkaitan isu ekonomi, pendidikan dan agama.Ia tercetus atas kesedaran bahawa perlunya tindakan waima yang sangat kecil sekalipun untuk membentuk gagasan bagi menyatukan orang Melayu terutamanya generasi muda di bawah satu bumbung yang sama.
Lebih daripada itu jelas beliau, gagasan tersebut pada akhirnya menyimpan aspirasi pada satu hari nanti berjaya diinstitusikan menjadi sebuah pertubuhan yang dengan serius membincangkan isu-isu berkaitan orang Melayu dengan membawa pendekatan secara bersama.Keperluan utama gagasan itu pastinya sangat jelas, iaitu untuk membawa politik negara ke satu dimensi baru dengan tanggapan bahawa ada isu-isu tertentu yang tidak seharusnya dipolitikkan tetapi perlu ditangani sebagai penyakit atau masalah orang Melayu.
Evolusi politik orang Melayu itu perlu dimulakan dari sekarang kerana ramai orang Melayu tidak faham tuntutan dan hak orang Melayu ketika ini dan proses penjelasan itu pula perlu dilakukan secara semula jadi.Dalam perpecahan, orang Melayu tidak mungkin mampu untuk memulakan satu gerakan massa yang lebih bermaruah buat bangsa dan selamanya akan ketinggalan dibayangi isu-isu yang menjadi pertikaian sesama sendiri.Dalam pendekatan yang disebut sebagai satu kematangan politik baru itu juga, gagasan permuafakatan Melayu tidak perlu terjun kepada isu-isu yang besar atau sensitif yang boleh mengeruhkan kejernihan muafakat yang sedia terbina.
Sebaliknya memadai dengan mengenal pasti kemampuan dan kekuatan ketiga-tiga parti untuk bekerjasama pada peringkat awal.Sebagai contoh ujar Mohamad Norza, ketiga-tiga parti boleh menubuhkan satu badan penyelidikan bagi mengkaji dan menilai sejauh mana pencapaian orang Melayu dalam pelbagai bidang di negara ini.Namun beliau menegaskan, pembentukan gagasan permuafakatan Melayu itu tidak seharusnya dipandang sebagai satu pergerakan bersifat perkauman yang boleh mengganggu gugat perpaduan yang dipertahankan bersama oleh semua kaum selama ini.
Ia sebaliknya dibina mengikut kerangka negara Malaysia yang tiang serinya ditegakkan oleh rakyat pelbagai kaum dan atapnya pula memayungi kesaksamaan bangsa.Kepentingan''Isu-isu yang dibincangkan tidak lebih daripada melibatkan kepentingan orang Melayu justeru tidak sewajarnya dilihat sebagai ancaman kepada survival kaum lain," katanya.Ketika ditanya adakah gagasan permuafakatan Melayu itu adalah satu langkah awal yang bakal menyatukan Melayu di bawah satu payung parti politik yang sama satu hari nanti, Mohamad Norza berkata, tidak salah untuk menaruh harapan walaupun usaha itu dirintangi pelbagai halangan terutamanya perbezaan ideologi dan pendirian.
Namun katanya, gagasan permuafakatan Melayu itu boleh menjadi langkah yang kecil kepada satu matlamat dengan perjuangan yang akhirnya menyaksikan semua yang bernama Melayu bergandingan memperkasakan bangsa.''Inilah sebenarnya cabaran yang perlu ditangani supaya generasi akan datang membesar dan diasuh minda mereka dengan kematangan politik yang berbeza iaitu politik yang lebih rasional," katanya.Sementara itu, Azmin ketika diminta pandangan mengenai pendirian PKR berkata, parti itu sentiasa menyokong sebarang langkah positif ke arah memartabatkan kedudukan orang Melayu seperti yang menjadi teras dalam idea pembentukan gagasan tersebut.
PKR jelas Azmin, sentiasa mempertahankan kepentingan orang Melayu namun dalam masa yang sama tetap menghormati kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.Bagaimanapun dalam menyatakan sokongan itu, Azmin melahirkan kebimbangan bahawa pendekatan baru menerusi gagasan itu hanya merupakan sandiwara sesetengah daripada ahli UMNO yang sudah kehilangan kuasa.''Setakat apa yang difahamkan, agenda pembentukan gagasan permuafakatan Melayu ini dipelopori oleh UMNO sedangkan PKR tidak melihat keberkesanannya sekiranya ia dipimpin oleh orang UMNO.
''Ini kerana orang Melayu sudah hilang keyakinannya kepada pemimpin UMNO yang lebih berniat kepada sandiwara politik berbanding usaha untuk menyelamatkan Melayu," katanya.Beliau turut menyentuh mengenai pendekatan tersendiri PKR dalam membincangkan permasalahan mengenai orang Melayu, antaranya menerusi perbincangan dengan pelbagai pihak seperti Pas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).Maklum balas yang dikumpulkan daripada perbincangan itu katanya, membolehkan PKR menggubal pendekatan baru yang lebih efektif dalam membantu orang Melayu mendapat tempat dalam pelbagai sektor di negara ini.Reaksi positif turut diterima daripada Salahuddin yang ketika diminta menyatakan pendiriannya berkata, polemik yang berlaku dalam masyarakat Melayu hari ini memerlukan satu usaha positif seperti pembentukan gagasan permuafakatan yang dicadangkan tersebut.
Untuk itu katanya, Pas sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar, memberikan pandangan dan komitmen sekiranya diminta oleh mana-mana pihak selagi ia berteraskan membela nasib orang Melayu.Bagaimanapun beliau menambah, pertemuan dengan Mohamad Norza tempoh hari bukanlah perbincangan secara rasmi dan sebarang tindakan lanjut mengenainya juga belum diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.