Bangsa yang mementingkan kecemerlangan adalah bangsa yang mahu bergerak ke arah penguasaan ilmu dan pendidikan. Bangsa Melayu akan berada dalam kejahilan ilmu pengetahuan sekiranya ia tidak dapat menilai sesuatu yang penting dan bermakna buat anak bangsanya sendiri. Penemuan sejarah Batu Bersurat di Terengganu memiliki nilai sejarah amat tinggi . Batu Bersurat yang bertarikh 702 Hijrah ini telah ditemui pada 1887 Masihi di kawasan Padang Tara di tepi Sungai Tara, Kampung Buluh Kuala Berang, Terengganu.Petanda kehadiran Islam dan amalan perundangannya terserlah di zaman tersebut.Akibat daripada kelalaian orang Melayu di dalam menilai sejarah, Batu Bersurat berkenaan pernah dijadikan alas tempat membasuh kaki di masjid selama hampir 16 tahun sebelum ditemui oleh seorang pedagang dari Riau Lingga yang bernama Saiyed Hussein bin Ghulam Al-Baukhari pada 1902. Hanya 20 tahun selepas itu, iaitu pada 1922, gambar batu bersurat itu telah dihantar kepada seorang Inggeris yang bernama C O Blegden untuk dikaji dan dibuat pembacaan.
Apa yang perlu kita semua ambil tahu sekarang ialah kemampuan kita menilai semula sejarah kegemilangan bangsa yang berpaksikan kepada semangat IQRA.Kerajaan sejak 50 tahun lalu, mengutamakan kemajuan bangsa Melayu. Keseriusan kerajaan bermula daripada zaman Tunku sehinggalah ke zaman Pak Lah. Tunku dengan projek mega Kelas Dewasa.Tun Razak dengan projek mega DEB, Tun Hussein dengan projek mega Rukun Negara, Tun M dengan projek Mega Putrajaya dan Pak Lah dengan projek meganya yang berteraskan kepada pembangunan kawasan terpencil kepada sebuah kawasan yang membangun.
Untuk itu, kerangka kerja bangsa Melayu sekarang bukan hanya lagi terletak kepada pemikiran sempit politik. Bangsa Melayu perlu berubah dan tidak hanya bertongkatkan istilah-istilah yang membuka keburukan kepada orang Melayu.Jadi, untuk mencapai tingkat ketinggian darjat pengetahuan bangsa, maka ILMU adalah segala-galanya. Untuk dapatkan akhirat, dunia adalah landasan pencarian ilmu.