Tuesday, June 17, 2008

ILMU DAN KEKUATAN BANGSA MELAYU

BERSONGKOK ADALAH BUDAYA MELAYU DAN MENJADI AMALAN BERZAMAN UNTUK MENGIKUT SUNNAH MENUTUP KEPALA BAGI LELAKI.MEMAKAI SONGKOK PERNAH MENJADI ISU DIKALANGAN PEMIMPIN DAP SEWAKTU MAJLIS ANGKAT SUMPAH ADUN.

Bangsa yang mementingkan kecemerlangan adalah bangsa yang mahu bergerak ke arah penguasaan ilmu dan pendidikan. Bangsa Melayu akan berada dalam kejahilan ilmu pengetahuan sekiranya ia tidak dapat menilai sesuatu yang penting dan bermakna buat anak bangsanya sendiri. Penemuan sejarah Batu Bersurat di Terengganu memiliki nilai sejarah amat tinggi . Batu Bersurat yang bertarikh 702 Hijrah ini telah ditemui pada 1887 Masihi di kawasan Padang Tara di tepi Sungai Tara, Kampung Buluh Kuala Berang, Terengganu.Petanda kehadiran Islam dan amalan perundangannya terserlah di zaman tersebut.Akibat daripada kelalaian orang Melayu di dalam menilai sejarah, Batu Bersurat berkenaan pernah dijadikan alas tempat membasuh kaki di masjid selama hampir 16 tahun sebelum ditemui oleh seorang pedagang dari Riau Lingga yang bernama Saiyed Hussein bin Ghulam Al-Baukhari pada 1902. Hanya 20 tahun selepas itu, iaitu pada 1922, gambar batu bersurat itu telah dihantar kepada seorang Inggeris yang bernama C O Blegden untuk dikaji dan dibuat pembacaan.

Apa yang perlu kita semua ambil tahu sekarang ialah kemampuan kita menilai semula sejarah kegemilangan bangsa yang berpaksikan kepada semangat IQRA.Kerajaan sejak 50 tahun lalu, mengutamakan kemajuan bangsa Melayu. Keseriusan kerajaan bermula daripada zaman Tunku sehinggalah ke zaman Pak Lah. Tunku dengan projek mega Kelas Dewasa.Tun Razak dengan projek mega DEB, Tun Hussein dengan projek mega Rukun Negara, Tun M dengan projek Mega Putrajaya dan Pak Lah dengan projek meganya yang berteraskan kepada pembangunan kawasan terpencil kepada sebuah kawasan yang membangun.

Untuk itu, kerangka kerja bangsa Melayu sekarang bukan hanya lagi terletak kepada pemikiran sempit politik. Bangsa Melayu perlu berubah dan tidak hanya bertongkatkan istilah-istilah yang membuka keburukan kepada orang Melayu.Jadi, untuk mencapai tingkat ketinggian darjat pengetahuan bangsa, maka ILMU adalah segala-galanya. Untuk dapatkan akhirat, dunia adalah landasan pencarian ilmu.

Tuesday, June 10, 2008

MODAL INSAN CEMERLANG

BUKTI KEJAYAAN KERAJAAN D DALAM MEMARTABATKAN ISLA.DAHULU AMAT SUKAR KITA MELIHAT MURID PEREMPUAN MEMAKAI TUDUNG.SEKARANG WAKTU PENDIDIKAN JASMANI PUN MEREKA MEMAKAI TUDUNG.
LUQMANUL HAKIM: MODEL MODAL INSAN CEMERLANG

APABILA menyebut soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia lebih tertumpu kepada tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah dan seminar. Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam di samping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah SWT. Justeru itu, Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat Lukman kepada anaknya ialah:

1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.
2. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.
3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.
4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.
5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.
6. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.
7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.

AQIDAH

Masalah aqidah adalah masalah yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Ia merupakan asas atau tapak bagi pembangunan Islam. Dewasa ini kita dapati banyak penyelewengan terjadi sama ada dari segi pemikiran, perkataan mahupun tingkah laku. Kesemuanya berpunca daripada tidak memahami aqidah Islam secara mendalam.
Firman Allah yang bermaksud:

"Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya: "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."(Surah Luqman: 31).

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa anak yang masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi. Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu bapa tidak tahu mengenai pelajaran tauhid. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya anak-anak generasi muda mudah tergelincir keimanannya?

Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan aqidah untuk beriman dengan Allah SWT secara kental. Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan. Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidik membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa. Sebagai contoh Sahal bin Abdullah menceritakan bahawa:

"Ketika aku berumur tiga tahun, aku sudah mulai bangun malam dan memerhatikan bapa saudaraku solat. Tiba-tiba pada suatu hari dia bertanya kepada aku, adakah engkau mengingati Allah yang menjadikan engkau? Lalu aku bertanya, bagaimana cara mengingati-Nya?, kemudian beliau berkata kepada ku, sebutkan dalam hatimu tiga kali ketika hendak tidur tanpa menggerakkan lidah mu (Allah bersamaku, Allah melihatku dan Allah menyaksikanku).

Setelah beberapa kali aku melakukan, lalu disuruhkan pula aku menyebutnya tujuh kali pada setiap malam. Selepas itu disuruhnya pula sebelas kali sehingga aku merasakan kemanisan bacaan itu dalam hatiku. Setelah berlalu masa setahun, maka dia berkata kepadaku, "Wahai Sahal! jagalah baik-baik apa yang aku ajarkan engkau itu dan bacalah ia hingga engkau masuk ke dalam kubur."

Katanya lagi, "Wahai Sahal! Siapa yang mengetahui dan menyedari yang Allah sentiasa bersamanya, menyaksikannya, apakah boleh dia berbuat maksiat lagi? Jauhkanlah dirimu daripada perbuatan maksiat." Melalui proses latihan yang disebutkan di atas serta pendidikan keimanan yang murni muncullah Sahal menjadi seorang ulama' yang terkenal.

SOLAT

Firman Allah bermaksud:

"Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." (Surah Luqman: 17). Islam memberikan keutamaan yang sangat besar kepada solat yang tidak pernah diberikan kepada ibadat lain. Kerana ia adalah tiang agama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Pokok pangkal sesuatu adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad fi sabillillah."


Solat yang dikehendaki oleh Islam bukanlah sekadar berkata-kata yang diucapkan oleh lidah dan pergerakan badan. Tetapi solat yang sebenar adalah yang dilakukan dengan penuh perhatian dan tumpuan pemikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah, itulah solat yang diterima oleh Allah SWT. Dari segi kejiwaan, solat memberikan ketenangan dan kekuatan bagi jiwa seseorang. Daripada segi kesihatan, ia mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan dan melatih badan agar sentiasa segar dan cergas. Dari segi akhlak pula ia mencegah perbuatan mungkar dan menjaga waktu manakala dan dari segi kemasyarakatan solat mendidik persamaan dan persaudaraan.

Berbakti kepada kedua ibu bapa

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. "Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku jua tempatmu kembali." (Surah Luqman: 41)

Ibu bapa mempunyai kedudukan yang paling istimewa. Mereka menduduki tempat yang kedua sesudah beriman kepada Allah dan Rasulullah. Oleh kerana itu, tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang dapat menyamai kedua dua ibu bapa. Berbakti kepada ibu bapa adalah wajib ke atas setiap anak dalam apa jua keadaan sekalipun ia merupakan asas terpenting dalam pendidikan Islam. Manakala menderhaka kepada kedua ibu bapa adalah berdosa besar. Adalah mudah bagi anak-anak yang sudah biasa terdidik atas sikap berbakti dan menghormati kedua ibu bapa untuk dididik dan diasuh supaya menghormati jiran tetangga, guru-guru dan seterusnya menghormati manusia seluruhnya.

SABAR

Kesabaran adalah suatu keperluan dalam usaha menegakkan keimanan, melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Semuanya bukanlah suatu perkara yang mudah. Oleh itu, ia sangat memerlukan kesabaran. Kesabaran dalam menghadapi hawa nafsu, musuh-musuh luar dan kesusahan lain. Begitu juga kesabaran amat perlu dalam menempuh jalan perjuangan yang amat panjang dan semestinya mengikuti tahap-tahap yang teratur untuk menuju matlamat.

JANGAN SOMBONG

Sifat takabur adalah lahir daripada perasaan bangga diri yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Biasanya seseorang yang takabur dikuasai oleh sifat-sifat buruk lain seperti taksub, mudah marah, dendam dan hasad dengki. Sebaliknya, Islam menganjurkan tawadduk kerana ia salah satu sifat terpuji yang amat digalakkan oleh Islam. Kalau takabur menjadi punca pertelingkahan dan perbalahan, maka tawaduk adalah pengikat yang menguatkan persaudaraan, mengukuhkan perpaduan serta melahirkan keselamatan dan ketenangan.

KESEDERHANAAN

Kesederhanaan menggambarkan ketenangan dan kesopanan tingkah laku. Tenang dan sopan santun adalah buah daripada budi pekerti mulia yang sangat dituntut oleh Islam. Begitu juga melembutkan suara ketika bercakap adalah menjadi ukuran pekerti mulia.

DAKWAH

Adalah menjadi fardhu ain bagi setiap muslim supaya melaksanakan tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Firman Allah bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung," (Surah Ali Imran: 104).

Pendidikan Luqman adalah pendidikan yang menyeluruh dan lengkap meliputi asas-asas aqidah, ibadat, akhlak dan dakwah. Oleh sebab itulah Allah telah merakamkan pendidikan Luqman itu untuk dijadikan contoh kepada umat Islam sepanjang zaman.

BATU TERLEPAS DARI NERAKA

DI MANA JUA KITA BERADA, MUSYAWARAH ADALAH ASAS AL FALAH
BATU TERLEPAS DARI NERAKA

Pada zaman dulu, seorang nabi bertemu seketul batu kecil di tengah jalan. Beliau hairan dan tercengang melihat air mencurah-curah keluar dengan banyak melalui serkahan batu itu. Dengan izin Allah, batu itu boleh berkata-kata. "Semenjak aku dengar Firman Tuhan bahawa bahan bakar neraka ialah manusia dan batu, aku selalu menangis ketakutan!" Nabi itu bermohon supaya batu itu terlepas dari neraka. Beberapa lama kemudian, nabi itu menjumpai batu itu sekali lagi dalam keadaan menangis seperti dulu. Beliau bertanya batu itu kenapa dia menangis lagi sedangkan dia terselamat dari menjadi bahan bakar api neraka. "Dulu aku mengangis kerana ketakutan tetapi sekarang aku menangis kerana bersyukur dan gembira!!"
MORAL & IKTIBAR
1.Batu adalah juga makhluk Allah yang mempunyai perasaan
2.Batu menjadi bahan bakar api neraka selain manusia
3.Makhluk jumud boleh berkata jika diizinkan Allah
4.Orang yang kasyaf yakni mereka yang dibukakan oleh Allah pintu hijab dapat mendengar dan melihat perkara yang tersirat
5.Hati manusia seperti batu yang keras - sukar menerima nasihat dan petunjuk kecuali mereka yang diizinkan
6.Hati manusia bisa dilembutkan dengan cara tangisan seperti batu tadi. Menangis kerana takut akan azab Allah dan juga kerana rasa syukur dan gembira akan nikmat kurniaan Allah
7.Batu yang tidak mempunyai akal pun takut dibakar dalam neraka, betapa dengan manusia yang diberikan akal
8.Manusia yang berhati batu tidak akan mendapat kurniaan dan rahmat Allah
Ada batu yang terkecuali dari menjadi bahan bakar neraka seperti batu giling Siti Aisyah yang tidak henti-henti menggiling demi untuk menolongnya mengisar
tepung.

BERSUKAN DALAM PERSPEKTIF ISLAM

BERSUKAN DAPAT MENGAWAL EMOSI SESEORANG MANUSIA
TEORI TABIAT MANUSIA

Pakar psikologi kaunseling membuat pelbagai teori bagi menjelaskan pembentukan tabiat manusia. Corey (1986) menyatakan beberapa teori penting yang menjelaskan tentang tabiat itu ialah:

Pertama: Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Frued. Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur rangsangan seksual, kuasa agresif dan tidak rasional yang wujud dalam diri manusia bagi tujuan menjaga survival perkembangan hidupnya. Unsur-unsur itu bertindak di dalam diri manusia secara membabi buta (tidak sedar). Kombinasi unsur-unsur itu dan konflik hidup semasa kecil yang tidak dapat diselesaikan pada masa itu akan menjadi punca dan penentu tabiat anak pada masa hadapan.

Kedua: Teori Analisis Transaksi: Teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Semasa kecil anak akan merakamkan secara langsung apa saja percakapan dan perbuatan yang ditayangkan oleh ibu bapa kepada mereka. Konflik akan berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup yang lama atau menerbitkan skrip hidup yang baru hasil daripada perkembangan emosi fikirannya dan pengaruh persekitaran.

Ketiga: Teori Behaviorisma: Menurut teori ini tabiat dan tingkah laku manusia terbentuk hasil daripada proses pembelajaran dan evolusi persekitaran. Tabiat manusia menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah, walaupun mereka sendiri yang mencipta sistem pembelajaran atau membentuk persekitaran.

Keempat: Teori Pemusatan Klien: Teori ini membuat andaian bahawa tabiat manusia semula jadinya baik, rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri. Walau bagaimanapun manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan diri dihalang seperti gagal mendapat kasih sayang, keselamatan dan seumpamanya.

Kita dapati bahawa pandangan teori kaunseling barat tentang tabiat manusia adalah sebahagian dari pandangan Islam. Mereka mengkaji tabiat manusia dari aspek luaran sahaja dengan merujuk kepada faktor persekitaran, proses pembahagian, kemahiran keibubapaan dan keperluan jasmani. Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak dibimbing oleh al-Quran dan kajian itu dibuat berdasarkan latarbelakang kehidupan masyarakat di barat.

Sebagai contoh, walaupun pendapat Frued dikritik hebat tentang tabiat manusia, tetapi teorinya adalah berkaitan dengan perasaan nafsu Ammarah yang mewakili unsur kehaiwanan atau keperluan jasmani manusia.

Dari segi pendekatan Islam, Muhammad al-Jiasi (1976) menyatakan: terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia iaitu:

a. Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada diperingkat ini tidak merasakan perbezaan antara yang baik dan jahat. Apabila seseorang itu melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya, juga apabila melakukan kebaikan, ia tidak gembira.

b. Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan sedia keluar untuk memulakan kehidupan yang positif.

c. Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.

d. Nafsu Mutmainnah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam dirinya.

Pada prinsipnya nafsu itu adalah mewakili dua keperluan naluri manusia iaitu naluri kehaiwanan (jasmani) dan rohani (wahyu). Kadang kala berlaku pertarungan sengit antara dua naluri itu untuk mempengaruhi hati manusia.

Seorang ahli falsafah akhlak Islam, Ibnu Maskawaih menyatakan pertembungan nafsu dalam diri manusia menghasilkan tiga peringkat tabiat manusia.

a. Manusia yang baik tabiatnya. Manusia yang baik tabiatnya tidak akan berubah menjadi manusia yang jahat;
b. Manusia yang jahat tabiatnya. Manusia dalam kategori ini tidak akan menjadi baik kerana memang pembawaannya sudah jahat.

c. Manusia yang berada dipertengahan tabiatnya. Golongan ini boleh berubah menjadi baik atau jahat bergantung kepada pendidikan dan persekitaran yang diterimanya.